Friday, October 31, 2008

Assalamualaikum wbt...

Bertemu Kembali…

Salam perjuangan diucapkan kepada semua. Semoga kita semua senantiasa berada di dalam lingkungan rahmat Allah swt. Berikut ialah tugasan jurnal yang telah berjaya disiapkan sepenuhnya. Dengan harapan mudah-mudahan segala ilmu yang ada dapatlah kita kongsikan untuk dimanfaatkan demi kebaikan kita bersama.

JURNAL 1

Tajuk: Kesan Efikasi Kendiri Guru Sejarah Terhadap Amalan Pengajaran Berbantukan
Teknologi Maklmumat dan Komunikasi (ICT)

Azwan Ahmad (SMK Syed Alwi, Kangar, Perlis)
Abdul Ghani Abdullah (Universiti Sains Malaysia, P.P)
Mohammad Zohir Ahmad (Universiti Sains Malaysia, P.P)
Abd. Rahman Hj Abd. Aziz (Universiti Sains Malaysia, P.P)

Pengenalan

Senario pendidikan kini amat memerlukan guru-guru Sejarah yang kreatif dan inovatif supaya pengajaran dan pembelajaran mereka adalah efektif. Kreatif bermaksud kebolehan seseorang untuk mencipta, menghasilkan dan memperkembang sesuatu. Inovatif pula ialah kebolehan seseorang untuk memulakan sesuatu yang baru sama ada dalam bentuk kaedah, sistem pendekatan atau sebagainya. Menurut Abd. Rahim (1999), daya kreativiti yang tinggi membolehkan sesuatu kaedah dan metod pengajaran mencorakkan perkembangan minda, emosi, sikap dan nilai para pelajar. Kreativiti juga memerlukan daya imaginasi untuk membolehkan para pelajar meneroka dan menghayati pengajaran yang berguna dalam mata pelajaran Sejarah. Ketandusan unsur kreatif dalam pengajaran Sejarah menyebabkan pelajar berasa bosan, jemu dan tidak berminat dengan mata pelajaran Sejarah. Kelemahan ini berpunca daripada kaedah pengajaran guru itu sendiri yang lebih banyak diorientasikan oleh keperluan peperiksaaan dan menghabiskan sukatan pelajaran (Hazri Jamil, 2003). Malah ketandusan inovasi dan pembaharuan yang berterusan dalam pengajaran Sejarah di sekolah menyebabkan pelajar merasakan mata pelajaran ini stereotaip, tidak mencabar, statik dan membosankan (PPK, 2004). Pengajaran berbantukan ICT seperti melalui penerokaan sumber digital dengan melayari laman web boleh membantu meningkatkan minat pelajar serta menjadikan proses P&P lebih menarik serta “menghidupkan” mata pelajaran itu sendiri. Keputusan untuk menggunakan ICT pula mungkin dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti pengetahuan dan kemahiran serta kemudahan dan kekangan di sekolah. Namun beberapa kajian menunjukkan bahawa kepercayaan guru berkaitan penggunaan ICT dalam kerja-kerja mereka merupakan faktor penentu dalam kemampuan guru mengintergrasikannya dalam pengajaran (Mohd Zaaba & Zurida, 2002; Pajares, 2002). Dengan kata lain, kepercayaan efikasi kendiri mempengaruhi pemilihan tindakan, corak pemikiran dan reaksi emosi seseorang guru terhadap suatu situasi yang dihadapi. Individu yang berefikasi tinggi akan menghadapi tugasan-tugasan sukar sebagai cabaran yang perlu di atasi, malah mempunyai daya usaha yang kuat untuk meningkatkan pencapaian dan perwatakan. Berdasarkan kepada premis di atas, kajian ini bertujuan untk mengenal pasti tahap efikasi kendiri guru Sejarah dan tahap amalan pengajaran Sejarah berbantukan ICT.

ICT dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Menurut Ahmad Fuad (2003), dalam konteks pendidikan,teknologi maklumat merupakan satu rangkaian elektronik untuk mencari, mengumpul, menyimpan, memproses, menyalur dan menyampai maklumat secara efektif, pantas dan banyak untuk membantu prosespengajaran dan pembelajaran. Manakala Halimahtun Saadiah dan Nor Azilah Ngah (2003) pula mendapati kejayaan ICT dalam pendidikan bukan hanya terletak pada teknologi tetapi juga faktor lain seperti pendekatan pedagogi, subjek yang diajar, jenis pelajar, tahap pencapaian pelajar, keperluan pelajar, guru dan persekitaran bilik darjah. Dalam hal ini Irfan Naufal Umar (2004) pula mendapati penggunaan ICT dalam proses P&P membolehkan bilik darjah bertemu dengan dunia nyata serta membolehkan pelajar pelajar sendiri mencari maklumat dan bahan asal; memudahkan kolaboratif dan perbandingan global; dan membolehkan bahan-bahan multimedia dicipta dan disebarkan dengan mudah. Selain daripada itu, Harris (2000) pula mengkategorikan penggunaan ICT dalam P&P kepada tiga, iaitu:

i. pertukaran interpersonal seperti penyertaan dalam kumpulan perbincangan eletronik, bilik darjah global yang melibatkan pelajar-pelajar bertukar pendapat tentang sesuatu topik dan hubungan elektronik dengan pakar
ii. koleksi maklumat yang melibatkan pelajar-pelajar dan guru-guru berkongsi atrikel, sumber pengajaran dan rancangan pengajaran atau berkongsi data untuk dianalisis
iii.projek yang melibatkan penyelesaian masalah selari yang melibatkan pelajar daripada pelbagai lokasi meninjau sesuatu dan kemudiannnya berkongsi kaedah dan dapatan kajian.

Di samping itu penggunaan ICT dalam P&P membolehkan pelajar bersifat aktif dalam pencarian maklumat dan membina pengetahuan daripada maklumat yang diperolehnya serta berpeluang menghubungkait pengetahuan merentas mata pelajaran tanpa disekat oleh masa dan jarak.

Efikasi Guru Terhadap Penggunaan ICT dalam P&P

Mengikut Ahmad Fuad (2003) hasrat untuk mencapai penggunaan ICT secara menyeluruh dalam proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan dua jenis perubahan dalam kalangan guru. Pertama, guru harus diyakinkan bahawa terdapat banyak kebaikan dan kepentingan penggunaan ICT dalam P&P. Kedua, guru perlu diberikan kemahiran yang mencukupi untuk menggunakan peralatan ICT secara cekap dan efektif. Mengikut Sarimah (2003) pula latihan ICT diperlukan bukan sahaja untuk melatih kemahiran penggunaannya tetapi juga untuk menyakinkan penggunaannya dalam P&P dalam kalangan guru. Malah Norizan (2003) dalam kajiannya mendapati wujud perhubungan yang baik antara kemahiran ICT dengan amalan ICT dalam P&P. Manakala Mohd Zaaba dan Zurida mendapati guru-guru masih tidak pasti akan keupayaan mereka untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Kebanyakan daripada mereka masih berada di tahap ‘perlu belajar’ untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam ICT. Keupayaan seseorang untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran bukan berlaku secara automatis. Pengetahuan dan kemahiran dalam ICT tidak menjamin pengintergrasiannya dalam kurikulum dan juga pengajaran. Justeru, adalah penting bagi guru untuk membuat persediaan yang mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk menggabungkan ICT dalam pengajaran. Sikap serta keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu memudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Albion (1999) menyarankan bahawa satu cara yang ideal untuk meningkatkan efikasi guru terhadap penggunaan ICT ialah dengan menyediakan latihan kemahiran ICT kerana ia berupaya meningkatkan efikasi guru.Menyokong pendapat Albion (1999) ialah Jones (2002) yang menyatakan bahawa apabila guru menggunakan ICT untuk tujuan pengajaran, keyakinan diri akan muncul sebagai petunjuk yang penting ke atas seseorang guru untuk mengajar ICT dalam bilik darjah. Hal ini diperkukuhkan lagi oleh Moersch (2001), bahawa penggunaan ICT dalam pengajaran adalah bergantung kepada keyakinan diri guru untuk mengguna dan mengendali peralatan ICT.


Kesimpulan

Guru seharusnya mengintergrasikan ICT dalam pengajaran mereka supaya P&P menjadi lebih menarik dan berkesan. Guru-guru juga perlu menyesuaikan kaedah pengajaran mengikut perkembangan semasa agar mereka tidak menjadi guru yang terpinggir dan kaku. Guru seharusnya mempunyai keyakinan untuk mengintergrasikan ICT dalam pengajaran bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran masing-masing.

JURNAL 2
Tajuk :Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi Dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Oleh
Dr. Rusmini Ku Ahmad
Pensyarah
Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara
Jitra, Kedah
Kementerian Pendidikan Malaysia

Pengenalan

Integrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sememangnya penting dalam konteks pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran boleh dikategorikan sebagai tutorial, penerokaan, aplikasi dan komunikasi. Dalam konteks pengajaran pula ICT digunakan sebagai tutor dan alat demonstrasi. Perbincangan ini meliputi peranan pemimpin sekolah dalam membentuk budaya ICT melalui pembinaan polisi dan pelan pembangunan; pemantauan resos dan program perkembangan staf disamping peranan guru dan sokongan pihak luar terhadap integrasi ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Pengenalan kepada ICT telah membawa kepada sikap yang positif di kalangan pelajar. Ini kerana ICT menyediakan peluang yang luas dalam aktiviti pembelajaran berbanding dengan kaedah tradisional . Melalui penggunaan internet pelajar boleh menimba ilmu pengetahuan serta contoh-contoh yang praktikal. Kemudahan hipermedia dan multimedia telah memudahkan pendekatan dan kaedah belajar yang tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya menggunakan kaedah tradisional. ICT menyediakan kaedah dengan memberi penekanan kepada penciptaan dan penerokaan ilmu secara aktif selain daripada menerima ilmu secara sehala sahaja.

Apa itu integrasi ICT

Menurut Pisapa (1994), integrasi ICT dalam P&P bermaksud penggunaan teknologi pembelajaran untuk memperkenal, mengukuh dan menambah kemahiran. Penggunaan teknologi mesti digabungjalin bersama kaedah pengajaran. Guru perlu mengintegrasi ICT untuk memberi nilai tambah kepada aktiviti P&P.

Integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran perlu dilihat dari perspektif yang lebih luas iaitu menggunakan ICT secara berfikrah, terancang dan bersesuaian untuk meningkatkan kecekapan proses dan keberkesanan dalam P&P (Pusat Perkembangan Kurikulum, 2001). Matlamat utama mengintegrasi ICT dalam kurikulum adalah untuk membantu murid memperkembangkan kebolehan dari segi mengguna, mengurus dan memahami ICT. Adalah penting bagi murid untuk menguasai kebolehan-kebolehan ini semasa proses pembelajaran dalam setiap bidang kurikulum (Jonassen,1996). Peranan ICT dalam P&P akan membawa kepada kaedah-kaedah yang baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Namun begitu kehadiran ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini. Perkara yang penting dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar menyelesaikan masalah semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan isi kandungan.

Mengapa perlu integrasi ICT?

ICT berperanan dari segi meningkatkan mutu dan mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet, bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar, guru dan murid dapat memanfaatkan sebaik mungkin.

Rosenberg (2001) berpendapat integrasi ICT dalam P&P memberikan peluang kepada guru untuk memperkenalkan pembelajaran secara kontekstual kepada murid-murid. Pembelajaran ini memfokuskan pembelajaran dalam konteks aktiviti masalah sebenar dan meletakkan pelajar sebagai penyelesai masalah. Melalui penggunaan ICT pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi akan melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam pekerjaan.

Strategi mengintegrasi ICT dalam P&P

Peranan Pemimpin Sekolah

Peranan pemimpin adalah amat penting dalam membentuk budaya ICT di sekolah. Mereka bukan sahaja perlu memberi sokongan dari segi kewangan tetapi juga menjadi model sebagai pengguna ICT dalam pentadbiran dan memberi respons kepada perubahan. Untuk menerapkan budaya ICT di sekolah, satu dokumen polisi bertulis seharusnya disediakan. Polisi ini membantu merekabentuk dan mengurus program ICT bagi membolehkan guru dan pelajar menguasai ICT secara teratur dan progresif.

Pemimpin sekolah harus memastikan prasarana yang lengkap dikendalikan dan digunakan secara optimum oleh guru semasa P&P dijalankan. Penggunaan makmal komputer hendaklah mengikut jadual waktu yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran agar kekecohan dan kecelaruan tidak timbul di kalangan guru-guru. Peranan penyelaras ICT mesti dipantau supaya budaya menyelenggara alat-alat perkakasan sentiasa dilakukan selepas makmal komputer digunakan. Penyelaras ICT harus peka dan jelas dengan arahan-arahan Kementerian Pendidikan tetapi dalam melaksanakannya di peringkat sekolah, mereka perlu mengubahsuai prosedur mengikut kemampuan guru-guru untuk melaksanakannya dengan berkesan. Pemberian komputer daripada pihak swasta atau atas inisiatif PIBG hendaklah dilengkapkan ke bilik-bilik darjah sekiranya makmal komputer telah disediakan. Ini akan menambahkan lagi penggunaan ICT oleh guru semasa proses P&P.
Peranan guru

Menurut Skinner (1974), melalui teori pembelajaran behaviorisme pembelajaran berlaku apabila seseorang itu bertindakbalas terhadap sesuatu rangsangan dan kemudiannya diberi pengukuhan. Sementara teori kognitivisme menegaskan pembelajaran merupakan satu proses maklumat diterima, diproses dan disimpan dalam pemikiran seseorang. Implikasi ini menunjukkan maklumat dianggap sebagai objek yang boleh dipindahkan kepada murid (Newell, 1990). Di bawah kerangka behaviorisme dan kognitivisme, guru berperanan sebagai penyampai maklumat dan memastikan bahawa pelajar telah mempunyai pengetahuan sedia ada. Oleh itu segala perancangan dibuat mengikut turutan aktiviti supaya objektif pembelajaran tercapai. Aktiviti pembelajaran yang mengaplikasi teori behaviorisme dan kognitivisme ialah pembelajaran tutorial yang menggunakan ICT untuk menyampaikan kandungan pelajaran. Aktiviti ini merangkumi demonstrasi, fenomena yang menggunakan perisian CD Rom, laman web yang disimpan di dalam cakera keras, latihan yang dikawal oleh sistem dan pembelajaran ekspositori.

Teori pembelajaran kontruktivisme memberi tumpuan kepada pembinaan ilmu oleh individu. Pembelajaran berlaku apabila seseorang itu dapat membina atau menginterpretasi ilmu serta mengaplikasi dalam situasi yang baru (Piaget, 1981; Brunner, 1990). Dengan kata lain teori ini memberi penekanan kepada pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengalaman pembelajaran yang autentik dan pengetahuan yang dibina melalui interaksi sosial. Melalui pendekatan teori pembelajaran ini, guru berperanan sebagai fasilitator dalam mengendalikan proses P&P dan menggunakan ICT sebagai alat. Pelbagai strategi pengajaran digunakan untuk menjana idea serta meningkatkan kemampuan murid untuk memanipulasikan maklumat yang telah dikumpul. Pembelajaran secara penerokaan boleh digunakan oleh guru untuk menghubungkan antara teori konstruktivisme dengan P&P. Kaedah pembelajaran ini membolehkan murid-murid mencari dan mengakses maklumat daripada ensaiklopedia multimedia atau bahan-bahan daripada internet (Haynes & Holmevik, 1998). Melalui pengumpulan bahan-bahan ini, maklumat akan digunakan untuk menjana dan menguji hipotesis dalam penyelesaian masalah.

Sokongan Daripada Pihak Luar

Pusat Sumber Pendidikan Negeri merupakan sumber rujukan yang paling relevan untuk mendapat khidmat nasihat mengenai teknik dan kaedah P&P menggunakan ICT. Teknik perkongsian pintar antara sekolah dan sektor swasta boleh digunakan sebagai strategi untuk meningkatkan kemahiran ICT guru dan semua warga sekolah. Sekolah harus menggunakan peluang yang ada dalam komuniti setempat dari segi mendapatkan sumbangan dalam bentuk tenaga pakar untuk membantu guru-guru dalam menjadikan penggunaan ICT dalam P&P secara berkesan.

Kesimpulan

Integrasi ICT dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan semua pihak. Sekolah tidak ada pilihan lain melainkan menerima perubahan dan fenomena ICT serta guru-guru perlu cepat menguasai ilmu dan ketrampilan ICT untuk diterapkan di dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Segala maklumat ini diperolehi selepas menggunakan enjin pencarian google dengan menaip kata kunci “ICT DALAM PENDIDIKAN dan ICT DALAM PEMBELAJARAN”. Saya mencari jurnal yang berformat pdf. Selepas saya menilai dan menganalisis maklumat yang ada, barulah saya memasukkannya ke dalam laman blog saya.

Thursday, October 9, 2008

Assalamualaikum wbt...

Bersua kembali…
Segala puji-pujian dipanjatkan kepada Allah swt kerana dengan izinnya saya dapat juga menyediakan tugasan ini meskipun terpaksa menempa sedikit kelewatan masa. Maaf dipinta kerana saya sedikit terlewat dalam menyiapkankan tugasan yang diberikan ini. Walaupun pada mulanya agak sukar bagi saya semasa cuba memahami ilmu berkaitan ICT ini, namun Alhamdulillah,akhirnya dapat juga saya memahaminya walaupun tidaklah sebagus mana. Akhir sekali, diharapkan rakan-rakan sekalian dapatlah sama-sama berganding bahu berkongsi ilmu di dada seterusnya berupaya mengimplimentasikan ilmu ini, khususnya dalam bidang Pendidikan Islam dalam P&P kelak.
Saya telah mengunakan enjin carian google semasa mencari laman web ini. Ketika membaca laman web ini, saya mendapati bahawa ianya sesuai dan sangat membantu para guru dalam meningkatkan tahap kecekapan mereka semasa berada dalam proses pengajaran dan pembelajaran bersama dengan para pelajar masing-masing.
Berikut ialah ringkasan bagi 5 LAMAN WEB yang berjaya diperolehi:
RINGKASAN WEB 1:
Tajuk: Pengajaran dan Pembelajaran Maya:Menangani Perubahan Bentuk Sumber Pengajaran danPembelajaran

Zaman berteknologi digital pada hari ini memberikan cabaran yang lebih hebat kepada mereka yang bergelar pendidik kerana mereka bukan sahaja terpaksa berdepan dengan karenah dan ragam pelajar, malah turut berdepan dengan cabaran aplikasi pelbagai teknologi canggih di dalam bilik darjah. Para pendidik pada masa kini bukan sahaja perlu tahu menggunakan teknologi elektronik malah mesti bijak menvariasikan penggunaannya untuk mewujudkan suasana Pengajaran dan Pembelajaran atau P&P yang lebih berkesan.
Anda boleh melawati maklumat ini menerusi laman web ini:
http://www.moe.edu.my:8080/web/guest/informasi/penyelidikan/
RINGKASAN WEB 2:
Tajuk: Kemahiran Berfikir dan Peranannya dalam Perkembangan Pendidikan
Seiring dengan perkembangan era teknologi hari ini, penggunaan ICT memerlukan sesorang itu perlu menggunakan kemahiran berfikir semasa mengaplikasikannya Seorang tokoh akademik barat bernama Robert Sperry di dalam teorinya mengatakan bahawa otak manusia sebenarnya terbahagi kepada dua bahagian iaitu bahagian kiri dan kanan. Kedua-dua bahagian ini mempunyai fungsi dan peranannya yang tertentu. Otak kiri mempunyai kemahiran berfikir di dalam bidang berupa kritis,logik, matematik, fakta dan ingatan. Manakala otak kanan pula berkisar tentang kemahiran berupa kreatif, imaginasi, warna dan juga irama. Berdasarkan huraian ini, apabila diperhatikan secara lebih mendalam, ia sebenarnya memberikan satu idea kepada para guru dan juga pelajar sama ada di peringkat KBSR mahupun KBSM supaya sentiasa berfikir secara kritis dan kreatif semasa menjalani proses P&p di sekolah masing-masing. Ini sangat membantu untuk proses P&P yang lebih berkesan.
Anda boleh melayari laman web ini menerusi:
http://gurufikir.blogspot.com
RINGKASAN WEB 3:
Tajuk: Teknik dan Kemahiran Mengajar
Teknik mengajar merupakan kemahiran seseorang guru itu dalam mengelola dan melaksanakan kaedah mengajar dalam sesuatu aktiviti P&P. Di antara teknik mengajar yang biasa digunakan ialah dengan cara guru itu bersyarah, bercerita, membincangkan, demontrasi, latih tubi, sumbangsaran dan permainan. Tujuan mengadakan kepelbagaian teknik ini ialah untuk menarik perhatian dan minat pelajar serta membangkitkan rasa ingin tahu mereka supaya objektif P&P mampu tercapai. Pemilihan teknik mengajar perlulah berdasarkan kepada umur, kecerdasan pemikiran, kebolehan serta minat pelajar itu sendiri. Strategi bermakna kebijaksanaan dalam menguruskan sesuatu perkara dan hanya merujuk kepada kebijaksanaan guru memilih pendekatan yang sesuai bagi tujuan itu.langkah ini bertujuan untuk memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran dapat dicapai.
Bagi maklumat lanjut bolehlah melayari:
http://e-pendidikan.com/guruinternet.html
RINGKASAN WEB 4:
Tajuk: Isu dan Cabaran Penggunaan ICT Dalam Pendidikan
Guru didapati masih kurang mengintegrasikan ICT dalam pengajaran mereka bagi menjadikan pengajaran lebih menarik dan berkesan. Bagi membolehkan guru akses kepada portal yang menyimpan bahan pengajaran, maklumat yang berkaitan dan kemas kini perlu disalurkan kepada semua sekolah. Di samping itu, semua bentuk latihan dalam bidang ICT perlu diperkukuhkan bagi mengatasi masalah majoriti guru yang masih menggunakan kaedah pengajaran tradisional dan kurang menggunakan ICT. Antara tahun 1996-2000 hanya 30 peratus daripada guru telah dilatih daiam ICT dan daripada mereka yang telah terlatih, hanya sebilangan kecil sahaja yang boleh mengintegrasikan ICT dalam P&P dan berkemahiran membina courseware. Ini merupakan cabaran kepada KPM untuk menyediakan kemudahan dan kepakaran ICT yang mencukupi di Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN), Pusat Kegiatan Guru (PKG), dan maktab perguruan bagi memberi khidmat nasihat dan latihan kepada guru-guru dalam bidang ICT yang serba penting ini.

http://apps.emoe.gov.my/bppdp/buku/ict.pdf

RINGKASAN WEB 5:
Tajuk: Asas Multimedia dan Aplikasinya Dalam Pendidikan Masa Kini
Kehadiran komputer serta teknologi moden yang berkaitan dengannya di dalam bidang pendidikan mampu membantu para guru dan pelajar mengurangkan kekangan dan meringankan bebanan yang sedia ada dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) tradisi. Dalam proses P&P berbantukan komputer, penggunaan komputer menumpu kepada cara dan strategi persembahan maklumat yang digunakan bagi memindahkan ianya kepada ilmu pengetahuan yang bermakna dan bermanfaat. Teks isi pembelajaran boleh diringkaskan atau dipersembahkan semula menggunakan media-media yang lebih menarik dan bersifat lebih dinamik. Maka oleh itu, para guru perlulah mempunya kemahiran dan bijak menggunakan komputer dalam P&P masing-masing bagi menarik perhatian serta minat pelajar semasa mendalami ilmu. Ia juga mampu mengelakkan rasa bosan timbul dalam kalangan pelajar berikutan cara dan gaya pengajaran yang bersifat tradisi yang sebegitu statik.
Anda boleh melayari laman web ini untuk maklumat lanjut:
www.ctl.utm.my/publication/manuals/mm/MIEducation.pdf

Assalamualaikum wbt...

Selamat datang ke dalam blogger saya. Laman blog ini dibina sebagai wadah untuk saya dan anda semua untuk saling berinteraksi, berkomunikasi dan menyuarakan pendapat serta cadangan yang bijak dan membina demi kebaikan bersama. Semoga dengan adanya laman blog ini, diharapkan dapat memudahkan lagi pembelajaran kita semua. Luangkan masa anda, berikan pendapat serta idea, marilah kita menuju kejayaan...